Al-Hadarah


AL – HADHARAH

Ya Qahhar ! Ya Jabbar ! Ya Muntaqim… ya Zaljalali wal ikram. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw, pemimpin sejati ummah serta kaum keluarga dan para sahabat Baginda seluruhnya.

Maksud firman Allah“ Dan di antara manusia itu ada yang berkata: “Kami beriman dengan Allah serta hari akhirat” sedang mereka – bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan menipu orang-orang yang beriman, tetapi mereka (sebenarnya) menipu diri mereka sendiri. Dan tidaklah mereka itu menyedari. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu; untuk mereka siksaan yang amat pedih disebabkan mereka berdusta.” al-Baqarah 8-10.

Maksud Hadith Nabi saw, “ Sesiapa yang keluar dari jamaah sekadar satu jengkal, sesungguhnya ia telah merungkai ikatan Islam dari tengkuknya; meskipun ia masih menunaikan sembahyang, berpuasa dan menyangka dirinya Muslim.”

Bertemu kembali, saudara muslimin, muslimat sekelian semoga dirahmati Allah swt. Menjelang Ramadhan, Ehya Ramadhan kali ini saya fikir perlu kita semua membuat muhasabah kembali kepada diri masing-masing tentang duduk perkara kita dalam perjuangan Islam yang sebenar. Persoalan al-wala`- memberi thiqah (kepercayaan) dan memberi taat setia dalam perjuangan, menjadi fokus tulisan kali ini insyaAllah.

Parti PAS berbanding rakan gerakan-gerakan ummat Islam yang lain di Malaysia lebih terkedepan di dalam mengeksploitasi maksud hadith Nabi saw di atas untuk kepentingan menjaga `keutuhan` parti tersebut sebagai sebuah parti politik semasa. Ahli-ahli dan penyokongnya dikelirukan atau tak sedar memberikan wala` yang `lagha` (sia-sia) kepada jamaah atau pemimpin yang telah lari dari orbit perjuangan Islam dan hanya tertumpu kepada meraih kekuasaan melalui peti undi, berhala demokrasi.

Jamaah yang dimaksudkan di dalam hadith Nabi saw tersebut adalah Jamaah yang menepati ciri-ciri Jamaah Muslimin yang dibangunkan oleh Baginda saw. Amat tidak kena pada tempatnya, jika hanya `title` yang dimahukan oleh PAS tetapi ciri-cirinya langsung diabaikan tanpa memperdulikannya untuk sekian lama. Wala` kepada pemimpin atau parti sekalipun tidak boleh membelakangkan risalah kebenaran (Islam) yang menjadi asas serta matlamat perjuangan itu sendiri.

`Persoalan al-Wala` – memberikan thiqah dan ketaatan kepada risalah perjuangan dan pimpinan – merupakan sebahagian dari persoalan besar dalam gerakan Islam dan sesebuah gerakan yang benar-benar ingin berada di atas landasan perjuangan yang kukuh mestilah berusaha menyelesaikan persoalan ini. Gerakan Islam dahulu dan kini telah melalui berbagai pengalaman yang menyebabkan mereka mencapai kematangan di mana antara pengalaman-pengalaman itu ialah bertukar-ganti dan jatuh-bangun para pemimpinnya.` Ustaz Hafid Muhammad Uthman, Bandung. Pengantar Buku al-Wala` (Said Hawa) Pustaka Fajar.

`Sesebuah gerakan yang benar cara dan tarbiyyahnya sudah pasti dapat melalui dan memahami bagaimana persoalan ini perlu diselesaikan. Dalam hubungan ini ahli-ahli jamaah sudah semestinya dididik agar mereka memberi wala` hanya sanya kepada orang-orang atau para pemimpin yang berjuang menegakkan risalah yang benar dan dengan cara yang benar pula. Ketaatan dan kepatuhan mereka berterusan selagi pemimpin tersebut berada di atas landasan kebenaran iaitu dengan tetap berada di dalam wadah atau badan yang memperjuangkan kebenaran. Keadaan ini tentunya boleh menyelamatkan sesebuah gerakan Islam seandainya berlaku penyelewengan atau penyimpangan di kalangan pemimpinnya.` Pengantar Buku Pembebasan al-Wala` Said Hawa Pustaka Fajar.

Jika PAS konsisten dengan perjuangan kebenaran (Islam), PAS yakni pemimpin dan ahli serta penyokongnya tidak akan `resah gelisah` dengan komen-komen atau kritikan-kritikan yang menuntut supaya kebenaran diutamakan mengatasi kepentingan diri dan kelompok sendiri. Lainlah halnya jika PAS sekarang telah `pandai` mewarisi perjuangan seperti zaman `khalifah-khalifah` yang mabuk dengan kuasa dan dunia dahulu yang hanya mengizinkan suara-suara `puji-pujian` dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada penguasa-penguasa yang zalim. Maka beranak-pinaklah sokongan yang membawa rebah kepada kejatuhan Khilafah Islam selepas itu.

` Sesungguhnya al-wala` merupakan kayu-ukur yang amat penting; yang memisahkan seseorang insan itu sama ada iman atau kufur; wala` jugalah yang mengenal-pastikan seseorang insan itu sama ada mereka berada dalam kategori Parti Allah atau Parti Syaitan. Apabila betul-sahih wala`nya maka betul-sahihlah kedudukan seseorang itu dan manakala sesat serta batil wala`nya akan menyelewenglah seseorang itu dari Islam meskipun ia beramal dengan amalan-amalan Islam.` Ramli Awang Manir Terengganu, Penterjemah Buku al-Wala`.



`Sifat-sifat seperti `ananiyah jamaiyah` (taasub/fanatik kepada jamaah) juga membayangkan wala` yang tidak betul. Mereka `menghentam` sesama mukmin dan membisu kepada golongan jahiliyyah (toghut); mendakwa merekalah satu-satunya yang betul, yang lain semuanya salah. Inilah kekeliruan yang berlaku – hasil dari kefahaman tentang wala` yang kabur lagi keliru. Mereka lupa bahawa tugas mereka adalah wajib memberikan wala` (kerjasama) kepada sesama golongan mukmin dan memutuskan secara total wala`nya kepada golongan kufur dan munafiq juga kepada golongan fasiq.`

`Hakikat ini juga membayangkan kepada kita betapa sesatnya manusia-manusia kini: Mereka memberikan wala` mereka kepada yang tidak diizinkan oleh Allah seperti mereka memberikan wala` mereka kepada pertubuhan-pertubuhan atau parti atau persatuan-persatuan yang tidak berasaskan kepada Islam atau tidak memberi wala` mereka kepada golongan mukmin.` Ustaz Ramli Awang Manir Terengganu.

` Dengan itu, apabila seseorang muslim yang memberikan wala`nya kepada komunis dengan seluruh kepercayaan komunis itu serta beramal bersertanya adalah tidak dihitung lagi sebagai seorang muslim.

Begitu juga seorang muslim yang memberikan wala` kepada watan (negara) yang tiada berhubungan dengan `tali Allah` (Agama Allah) dengan seluruh `kemaslahatan watan` yang samar (tidak jelas) adalah tidak dihitung kira sebagai muslim. Muslim yang memberikan wala`nya (kerjasama) kepada `missionary dunia` yang kufur, mulhid (atheis) lagi murtad dengan seluruh sifat-sifat `keinsanan` adalah juga tidak dikira sebagai muslim.` as-Syeikh Said Hawa Pengarang Kitab Jundullah.

Dulu.. zaman muda-muda, saya selalu mendengar “Kita tegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah” tetapi sekarang ketika dah berumur saya dengar dendangan lain pula, `Pulihkan Demokrasi, Tegakan Islam`, `Membedah Demokrasi`, `Selamatkan Demokrasi di Malaysia`. Seruan Islam itu dah tenggelam timbul di celah-celah perjuangan demokrasi dan hanya bertindak sebagai penyeri majlis laungan reformasi serta bahan kelicikan parti tulen Democratic Action Party (DAP). Lalu… apa yang saudara dan saudari ummah dapat harapkan memberi wala` atau kerjasama kepada mereka yang memberikan wala` serta kerjasama mereka pula kepada sistem demokrasi dengan menutup terus ikhtiari manusia untuk meneroka dan membangunkan sistem Islam itu sendiri.

Ummah bayangkan apa yang terjadinya bila `mat-mat rempit` bermaharajalela mengemudi laluan perjalanan; tanpa etika, tiada malu, tak perlu fikir panjang, kepuasan untuk dinikmati sendiri, aku jadi idola-nya semua orang nak tengok, angkat roda depan, meniarap atas motor, aku meghawet-am dan akulah Tok Guru rempit kepada budak-budak tuu. Sekian dari Ibnu Ramadhan.``qulil haq walau kana murron ``

2 ulasan:

  1. assalamu alaikum Ukhty, artikelnya sangat bermanfaat, untuk saling mengingatkan akan jalan kebenaran. Salam sehat Ukhty. Terima kasih:)

    BalasPadam
  2. Assalamialaikum .. artikel ini sungguh bermanfaat bagi pembacanya . terimah kasih Salam sehat

    BalasPadam